PERHATIAN !

Blog dan isi kandungan blog ini hanya untuk layaran, perkongsian, dan bacaan pengunjung-pengunjung blog https://cucutokraja.blogspot.com yang beragama BUDDHA dan BUKAN beragama ISLAM sahaja.

Kandungannya mungkin akan menimbulkan KETIDAKSELESAAN kepada sesetengah golongan. Sila TINGGALKAN laman ini sekiranya anda bukanlah daripada golongan seperti yang dinyatakan di atas.

Keprihatian dan kerjasama anda semua amat saya hargai.

Sekian, terima kasih.

This blog and shared @ posted blogposts are strictly for NON-MUSLIM viewing purposes only. All articles / posts are strictly writer's personal view per se. Writer does not necessarily endorse the views or opinions given by any third party content provider.

TQVM


Wednesday, February 23, 2011

Sharing .................


Pengaruh Siam dalam kepercayaan orang Melayu Rencana Pilihan

Oleh Mohamed Yusoff Ismail
(myis@pkrisc.cc.ukm.my)

Dalam sistem kepercayaan penduduk Melayu Kelantan terdapat beberapa elemen yang berasal dari luar sistem keagamaan Islam. Oleh kerana agama Hindu dan Buddha mendahului kedatangan agama Islam, beberapa elemen Hindu dan Buddha telah diserap ke dalam sistem kepercayaan orang Melayu tempatan. 

Tiga daripada elemen kepercayaan berbentuk magis, iaitu besi bat, air jampi tok ca dan minyak mati dibunuh telah lama mempengaruhi persepsi kepercayaan tradisional orang Melayu. Penyerapan tersebut berpunca daripada pertembungan di antara budaya Siam dengan budaya Melayu, yang telah menghasilkan beberapa ciri budaya Sanskrit.
Besi bat dan air jampi tok ca berkait rapat dengan institusi keagamaan Buddha, sementara minyak mati dibunuh berasal daripada sistem kepercayaan Brahman (phram) yang juga menjadi sebahagian penting daripada sistem kepercayaan orang Siam.
Penerimaan elemen Buddha dan Siam oleh orang Melayu Kelantan dapat dilihat daripada beberapa sudut.
Pertama sekali, penduduk Siam telah begitu lama wujud di Kelantan terutama sekali dalam persekitaran sosial dan budaya Melayu di luar bandar. Tidak hairanlah jika budaya Siam telah banyak mempengaruhi cara hidup orang Melayu tempatan, seperti yang dapat di lihat dalam hal-hal yang berkaitan dengan konsep semangat dan makhluk halus.
Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa beberapa elemen dalam kedua-dua budaya Melayu dan Siam mempunyai asal usul dan sumber yang sama yang saling mempengaruhi di antara satu sama lain (Cuisinier 1936:2). Kehadiran masyarakat Siam juga telah memberikan beberapa pilihan kepada masyarakat Melayu tempatan dalam penggunaan kaedah magis bagi menangani masalah dalam hidup seharian mereka. Penggunaan magis Siam oleh orang Melayu biasanya tidak dianggap bertentangan dengan prinsip Islam kerana langkah tersebut dikategorikan sebagai ``ikhtiar'', iaitu satu bentuk pewajaran sosial yang diterima umum di kalangan penduduk di Kelantan, biarpun ada di antara mereka yang mempunyai pendirian yang ortodoks. Perkara ini boleh dilihat sebagai satu pragmatisme sosial di kalangan penduduk yang mempunyai sikap terbuka dari segi pinjam meminjam elemen silang budaya.
Keduanya, amalan sistem kepercayaan Buddha dalam satu ruang sosial yang dikuasai oleh orang Melayu beragama Islam pada umumnya tidak menimbulkan konflik budaya yang serius. Beberapa buah perkampungan Siam telah lama dibangunkan di kawasan luar bandar di Kelantan semenjak lebih dari seratus tahun yang lepas. Masyarakat Siam dapat mengamalkan agama dan budaya mereka tanpa diganggu oleh mana-mana pihak meskipun terdapat beberapa batasan tertentu.
Di samping itu golongan biku dan biara, yang mewakili institusi keagamaan Buddha, mempunyai sifat terbuka terhadap orang Melayu tempatan. Justeru orang Melayu diberikan layanan baik jika mereka memerlukan bantuan perbomohan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pengamal magis dan pengamal ilmu perubatan tradisional yang terdiri daripada dua golongan, iaitu golongan biku dan golongan tuna biarawan.
Di Kelantan terdapat orang Melayu yang sering mengunjungi pengamal magis Siam atau biku yang menjadi bomoh terkenal. Kunjungan tersebut adalah untuk memperoleh rawatan bagi kes-kes penyakit yang gagal dirawat oleh pengamal perubatan Melayu ataupun perubatan moden. Kunjungan itu boleh juga dianggap sebagai usaha terakhir bagi mengatasi sesuatu masalah yang gagal diselesaikan mengikut cara biasa.
Kehadiran orang Siam telah memberikan orang Melayu Kelantan alternatif lain dalam kaedah perubatan tradisional. Penerimaan alternatif ini menjadi begitu meluas sehinggakan terdapat satu klasifikasi umum terhadap jenis penyakit dari segi cara mengubatinya. Sesetengah penyakit dipercayai lebih sesuai jika diubati oleh pengamal Melayu dengan menggunakan pendekatan Islam, sementara beberapa jenis penyakit lebih berkesan jika ditangani oleh pengamal bukan-Melayu, terutama oleh bomoh Siam dan biku.
Orang Melayu Kelantan menganggap ilmu perbomohan Siam itu sebagai satu pilihan pragmatis di antara beberapa sistem magis dan perbomohan yang sedia ada, termasuklah sistem yang ditawarkan oleh Orang Asli dan golongan bukan-Melayu yang lain. Selain daripada kes-kes yang memerlukan rawatan istimewa, orang Melayu juga mengunjungi pengamal magis Siam untuk mendapatkan bantuan bagi menangani masalah laziman, iaitu masalah yang bukan semestinya bersifat luar biasa. Daripada pengamal magis Siam mereka mendapatkan ubat pengasih, ubat pembenci, tangkal pelindung diri dan pelbagai jenis bahan magis yang tergolong ke dalam bidang magis gelap (sorcery atau manipulative magic).
Selain itu pengamal Siam dikunjungi bagi mendapatkan rawatan tradisional bagi penyakit biasa, iaitu rawatan yang menggunakan ubat-ubatan dan ramuan akar kayu serta bacaan ayat suci (parit) dan jampi mantera. Ada pula yang mengunjungi biara dan menemui bhiku bagi mendapatkan rawatan ke atas penyakit yang digolongkan sebagai penyakit kena buat orang, iaitu gangguan peribadi yang memerlukan rawatan dalam bentuk curative magic. Bomoh Siam dikunjungi bukan kerana tidak ada perkhidmatan yang sama yang diberikan oleh pengamal Melayu, tetapi terdapat tanggapan umum bahawa ilmu perubatan Siam itu lebih berkesan dan lebih kuat daripada sesetengah cabang dalam ilmu perubatan Melayu. Dikatakan bahawa magis gelap Siam itu lebih berkesan dan lebih kuat daripada magis Melayu kerana pengamal Siam menggunakan ramuan atau perkakasan yang haram di sisi Islam, termasuklah patung Buddha, darah haiwan serta bahan-bahan yang dianggap tidak suci dari segi Islam, seperti cemara babi hutan serta taringnya, dan minyak yang diambil daripada mayat orang mati dibunuh.

No comments:

Post a Comment